Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Lim Ah Toh di Jalan SS15A/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 26 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI, MBPJ hulur RM6,000, makanan kering kepada empat keluarga mangsa kebakaran

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 26 MEI: Empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan SS5A/15, Kelana Jaya di sini  menerima sumbangan wang tunai RM6,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Sumbangan bagi pihak MBI diserahkan Ketua Tanggungjawab Sosialnya Ahmad Azri Zainal Nor sementara MBPJ diwakili Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir.

Ahmad Azri berkata kunjungannya bertemu empat keluarga terlibat selain meninjau kediaman mereka petang tadi selepas dimaklumkan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar.

“Hari ini kita serahkan bantuan RM3,000 kepada setiap keluarga dengan RM300 sebagai pendahuluan dan baki RM2,700 akan diberikan kemudian selepas dokumentasi mereka dilengkapkan,” katanya.

Menurut Ahmad Azri pihaknya juga berusaha mendapatkan bantuan untuk membaiki rumah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mangsa beragama Islam serta bantuan yang sesuai untuk mangsa-mangsa lain.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor meninjau keadaan rumah mangsa kebakaran Saleha Sulaiman di Jalan SS15A/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 26 Mei 2023. Turut serta ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Azhan Md Amir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu Mohamad Azhan pula memberitahu MBPJ menyerahkan wang tunai RM3,000 dan bahan makanan kering antaranya beras dan telur kepada empat keluarga terlibat.

“Ini adalah tanda prihatin kami kepada mangsa terlibat yang merupakan warga MBPJ ,” katanya.

Kebakaran yang berlaku jam 2.30 petang pada 19 Mei mengakibatkan dua kediaman mengalami kerosakan teruk dan dua lagi terbakar 30 peratus.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu.

Keadaan rumahnya di Jalan SS15A/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya yang hangus dalam kebakaran pada 19 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :