PBTSELANGOR

MBPJ belanja lebih RM2.618 juta baiki jalan rosak sejak Januari

OLEH AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 30 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntuk lebih RM2.618 juta bagi menyelenggara jalan raya di kawasan pentadbirannya sejak awal tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata sebanyak RM1.5 juta dibelanjakan untuk membaiki laluan berskala besar, manakala baki bagi menampal jalan berlubang.

Beliau menjelaskan sepanjang 850 meter daripada keseluruhan 4.5 kilometer jalan berskala besar selesai dibaiki setakat ini, sementara lebih 500 laluan siap ditampal dalam tempoh tersebut.

“Kerja menampal jalan berlubang dan turap semula dilakukan tiga kumpulan iaitu Road Gang MBPJ, tiga kontraktor tahunan dan 19 kontraktor inden secara berperingkat mulai Januari,” katanya.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBPJ di sini hari ini, Mohamad Azhan memberitahu pihaknya juga akan membaiki jalan sepanjang 6.4 kilometer dengan kos RM2 juta, Ogos depan.

Dalam pada itu, katanya, rondaan sistem pengesanan lubang atau lopak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan dilaksana mulai Jun bagi meningkatkan urusan selenggara jalan.

“Melalui sistem ini, MBPJ boleh mengesan kerosakan jalan serta-merta dan terus mengarahkan kontraktor ke lokasi bagi melaksanakan kerja baik pulih dengan segera,” tambahnya.


Pengarang :