Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meruntuhkan struktur tambahan yang dibina secara haram melibatkan 13 premis dalam operasi bersepadu di kawasan komersial Bandar Puteri 2/3, Puchong pada 25 Mei 2023. Foto ihsan MBSJ
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBSJ runtuh struktur tambahan haram 13 premis di pusat komersial Puchong

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 25 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meruntuhkan struktur tambahan yang dibina secara haram dalam operasi bersepadu melibatkan 13 premis di pusat komersial Bandar Puteri 2/3, Puchong, hari ini.

Bahagian komunikasi korporat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata semua premis terbabit juga didapati menutup keseluruhan permukaan longkang di lorong belakang tanpa kebenaran.

“MBSJ telah mengambil tindakan tegas dengan meruntuhkan stor dan sambungan lain yang dibuat di atas longkang tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 46 dan Seksyen 70 Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) melibatkan kesalahan mendirikan struktur atau halangan di tempat awam tanpa kebenaran.

“MBSJ telah meruntuhkan struktur serta binaan haram tersebut sebelum KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang,” katanya menerusi kenyataan.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meruntuhkan struktur tambahan yang dibina secara haram melibatkan 13 premis dalam operasi bersepadu di kawasan komersial Bandar Puteri 2/3, Puchong pada 25 Mei 2023. Foto ihsan MBSJ

MBSJ berkata operasi bersepadu pemecahan struktur dan binaan haram itu melibatkan enam jabatan dalaman iaitu Jabatan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar serta Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik.

Turut menyertai operasi tersebut ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, KDEBWM dan Ahli Majlis MBSJ Zon 16 Yap Kok Weng.

“MBSJ akan terus membuat pemantauan berkala di setiap kawasan komersial dan pemilik premis juga diminta supaya tidak membuang sisa masakan ke dalam longkang selain mengingatkan pemilik agar tidak membina apa-apa struktur di atas permukaan longkang,” katanya.

Pengarang :