Oleh Shamz Johan
SHAH ALAM, 26 MEI: Lebih 40 warga Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) diberi peluang menghayati kisah hidup dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Movie Day Out semalam.
Ketua Kluster Operasi dan Strategik Mohd Zulkifli Ismail berkata acara itu khusus untuk memberi pendekatan dan informasi mengenai kisah Perdana Menteri ke-10 negara yang difilemkan.

“Kita sentiasa membuat liputan (berita) pelbagai peristiwa yang berlaku, jadi usaha ini diharap dapat memberi informasi kerana ada sebahagian yang tidak mengetahui kisah sebenar, filem ini memberi gambaran apa yang berlaku kepada susuk Anwar Ibrahim,” katanya.
Program anjuran bersama Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor (Kerisemas) berlangsung di TGV i-City Shah Alam.

Sementara itu, Pengerusi kelab Lizawati Madfa berkata selain menghayati liku perjuangan presiden Parti Keadilan Rakyat, program tersebut juga antara usaha merapatkan silaturahim antara kakitangan.
“Masih banyak kisah lain yang belum diceritakan, justeru, program ini memberi peluang kakitangan menghayati liku dan cabaran dihadapi tokoh politik negara itu, selain dapat mengeratkan silaturahim bersama warga kerja MSSB,” katanya.

Filem biopik Anwar: The Untold Story mula ditayangkan di 28 pawagam seluruh negeri pada 18 Mei lalu dan mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.
Berlatarkan tahun 1993 dan 1998, filem itu menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan serta perjuangannya yang konsisten menentang amalan rasuah.