Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang (tiga, kanan) ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada 10 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Kes buli pelatih TUDM, tindakan tegas termasuk buang kerja jika terlibat

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Tindakan tegas akan diambil termasuk buang kerja jika ada anggota yang terlibat dengan dakwaan membuli pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kejadian membuli pelatih TUDM berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan satu budaya yang biasa dilakukan.

“Bagaimanapun perkara sedemikian (membuli pelatih) kadang-kadang berlaku, malah di peringkat sekolah rendah dan menengah ada juga kes buli. Saya berharap perkara ini elok dihentikan.

“Jika ia masih berlaku (kes buli) dan didapati ada anggota yang benar-benar terlibat dan tidak mengendahkan peraturan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sehingga membolehkan dia dibuang kerja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.

Menurutnya Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menasihatkan anggotanya agar tidak terlibat dengan perkara yang boleh menjadi kesalahan terutamanya dalam terma perkhidmatan ATM.

Mengulas mengenai siasatan kes berkenaan, Mohamad berkata ia sedang dijalankan oleh kedua-dua pihak iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MINDEF.

“Kita akan lihat hasil daripada siasatan yang dibuat kerana kita tidak boleh terus menjurus kepada sesuatu perkara tanpa kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Semalam, PDRM merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan kes itu termasuk lima pelatih yang mendakwa menjadi mangsa serta enam pelatih yang didakwa melakukan perbuatan itu.

Sebelum ini, tular satu perkongsian di media sosial dengan seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara.

Dalam perkongsian tersebut wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal serta emosi sehingga menyebabkan trauma dan ketakutan.

— BERNAMA


Pengarang :