Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika menyampaikan ucapan perasmian Forum Media HAWANA sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, Perak pada 28 Mei 2023. Foto Facebook Fahmi Fadzil.
AGENDANASIONAL

Menteri komited angkat martabat pengamal media, saksi pengorbanan ketika bertugas

IPOH, 29 MEI: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan komitmen mengangkat martabat pengamal media dan berusaha memudahkan urusan golongan itu.

Dalam catatan di laman Facebooknya, sambil mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kepada penggiat media, Fahmi mengimbas kembali peristiwa pihak media bertungkus lumus bekerja ketika bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Disember tahun lalu.

Fahmi berkata beliau sendiri menyaksikan pengorbanan luar biasa golongan media yang membuat liputan ketika itu demi menyampaikan maklumat kepada khalayak.

“Antara bencana yang berlaku baru-baru ini adalah tragedi Batang Kali. Saya belum dua minggu menjadi menteri masa itu.

“Ketika itu, pihak pengamal media berkampung selama berhari-hari hanya untuk melaporkan status terkini pada rakyat. Saya lihat sendiri pengorbanan luar biasa mereka,” katanya.

Bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” HAWANA 2023 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini semalam.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

– BERNAMA


Pengarang :