Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya menutup kepala menggunakan buku ketika pulang dari sekolah semasa tinjauan Media Selangor susulan cuaca panas yang melanda negara pada 11 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Minum banyak air, kurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sama seperti manusia, haiwan juga berisiko terkena strok haba berikutan fenomena El Nino atau cuaca panas yang dijangka melanda negara hingga September ini.

Ketua Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar Dr Farina Mustaffa Kamal berkata antara simptom yang ditunjukkan adalah seperti menjelir lidah (panting) dan air liur keluar dengan jumlah yang banyak (hypersalivation).

“Dalam keadaan teruk, haiwan akan kelihatan lemah, mengalami cirit-birit, muntah, sawan, peningkatan degupan jantung, lidah bertukar menjadi merah atau ungu,” katanya.

Beliau berkata sekiranya simptom tersebut berlaku, haiwan itu perlu dibawa ke tempat teduh, kawasan berangin atau berhawa dingin, seterusnya dibalut dengan tuala basah terutama di bahagian kepala, leher, dada dan kaki atau terus mandikan mereka.

“Elak membasahkan haiwan dengan ais. Terus bawa haiwan anda ke klinik veterinar yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dr Farina turut menasihatkan pemilik supaya memastikan sumber air minum mencukupi dan mengelakkan membawa haiwan peliharaan keluar antara 12 tengah hari hingga 4 petang.

Katanya, pemilik juga harus mengelakkan haiwan daripada keadaan yang boleh menyebabkan tekanan dan sekiranya dalam kandang, jumlah haiwan tidak boleh terlalu banyak serta dengan pergerakan udara yang baik.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Syed Muhammad Syed Ali berkata antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit haba kepada manusia pula ialah obesiti, kecelaruan fikiran, tidak boleh bergerak, tiada pergerakan udara, kelembapan yang tinggi dan kurang minum air.

“Antara persediaan yang boleh dilakukan oleh orang ramai ialah minum banyak air, sentiasa berteduh dan mengelakkan memakai pakaian ketat dan mengurangkan pengudaraan seperti tali leher dan bahu cekak musang,” katanya.

Peniaga, Abdullah Ahmad, 56, menyediakan air kelapa untuk pelanggan ketika tinjauan Media Selangor susulan cuaca panas yang melanda negara pada 11 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk menggunakan aplikasi cuaca yang boleh mengira suhu mengikut jumlah kelembapan untuk merancang aktiviti harian serta tidak memaksa diri jika ada tanda kelesuan haba, seterusnya segera menyejukkan diri atau meminta pertolongan.

Beliau berkata sekiranya dibandingkan dengan orang dewasa, kanak-kanak lebih berisiko terhadap penyakit haba disebabkan kadar luas permukaan kulit yang lebih besar berbanding berat badan yang boleh menyebabkan haba lebih mudah diserap daripada persekitaran yang panas .

Seorang guru sekolah rendah di ibu kota, Syarifah Aina Amiruddin, 31, berkata susulan fenomena El Nino yang dihadapi Malaysia, aktiviti luar bagi kanak-kanak perlu dikurangkan.

“Saya akan cari cara untuk pastikan anak-anak saya mengisi masa di rumah dan kurangkan keluar kalau cuaca tengah panas, selain bagi mereka minum air yang banyak supaya boleh pastikan mereka kekal hidrat,” kata ibu kepada dua anak lelaki berusia tujuh dan lima tahun itu.

Pengasuh kanak-kanak, Fauziah Mohd Amin, 57, berkata beliau akan memastikan anak-anak asuhannya minum air yang banyak dan aktiviti di luar rumah dijalankan ketika cuaca redup.

“Saya hanya akan bawa mereka keluar selepas 5.30 petang hingga 6.30 petang untuk mereka bermain di taman permainan di bawah apartment saya,” katanya yang menjaga empat kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun.

– BERNAMA


Pengarang :