Pendaki orang kurang upaya (OKU) Malaysia Everest 2023 Muhammad Hawari Hashim dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu pada 18 Mei 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Misi mencari pendaki Malaysia dilakukan siang malam sebelum berakhir Ahad ini

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kurang empat hari sebelum kawasan pergunungan Everest ditutup sepenuhnya kepada pendaki bermula Isnin hadapan.

Ketika ini misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang sejak Jumaat lalu masih dilakukan siang dan malam.

Sumber berkata, Kerajaan Nepal akan menanggalkan serta mengeluarkan semua khemah, tali dan tangga menuju ke puncak Everest bermula dari lokasi Base Camp Everest sehingga ke kem 4.

“Jika tiada jejak Muhammad Hawari ditemui sehingga 28 Mei ini (Ahad) maka operasi SAR terhadapnya terpaksa dihentikan.

“Jika operasi SAR mahu disambung semula, ia hanya boleh dilakukan pada musim pendakian tahun hadapan di antara April hingga Mei 2024,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurutnya, pencarian Muhammad Hawari semalam difokuskan sekitar kem 4 berikutan terdapat kemungkinan mangsa naik semula menuju ke puncak Everest selepas berada di kem 4 sebelum mengalami kemalangan.

“Pihak berkuasa di sebelah bahagian Tibet turut dihubungi bagi membantu mengesan mangsa di kawasan pergunungan Everest di sebelah Tibet.

“Kos mencari dan menyelamat mangsa dijangka terus meningkat setiap hari disebabkan tiada jejak ditemui setakat ini selain kawasan pencarian yang semakin luas,” katanya.

Difahamkan khidmat lapan malim gunung profesional digunakan setakat ini bagi mengesan mangsa di kem 2, kem 3 dan kem 4 berhampiran pergunungan Everest.

Difahamkan Muhammad Hawari sebelum ini berjaya menawan puncak Everest pada Jumaat lalu sebelum didapati hilang ketika berada di kem 4.

Dia disyaki turun ke kem 3 bersendirian tanpa pengetahuan pihak operator sebelum kehilangannya disedari malim gunung.

Kelmarin kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan bantuan RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Muhammad Hawari.

Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu berkata, bantuan itu bagi membolehkan operasi SAR pendaki terbabit dipergiatkan.

Jumaat lalu, seorang lagi pendaki ME2023 Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar, 56, meninggal dunia akibat terjatuh ketika mendaki gunung tertinggi di dunia itu.


Pengarang :