Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad berucap pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Yang Dipertua MPAJ Ke-9 di Menara MPAJ pada 8 Mei 2023. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

MPAJ hasrat bina pusat sehenti lupus kenderaan terbiar

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 8 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang mengkaji untuk memperkenalkan pusat sehenti bagi menguruskan pelupusan kenderaan terbiar.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata idea baharu itu memerlukan kajian terutamanya kaedah pelaksanaan termasuk pematuhan dari segi perundangan.

“Sebelum ini pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya melupus kenderaan yang disita dan perkhidmatan yang ingin diberikan MPAJ kali ini adalah untuk orang awam yang mahu melupuskan kenderaan terbiar milik mereka tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana caranya.

“Jika perkhidmatan ini dilaksanakan kita dapat membantu orang awam melupuskan kenderaan mereka dengan sejumlah bayaran sekaligus dapat beri pendapatan baharu untuk MPAJ,’” katanya.

Ani berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Yang Dipertua MPAJ Ke-9 di Menara MPAJ di sini, hari ini.

Pihaknya juga sedang mengkaji untuk mengkomersialkan perkhidmatan kutipan sisa barangan elektrik dan elektronik (e-waste).

Berucap pada majlis berkenaan, Ani menyatakan MPAJ kini memfokuskan usaha mempelbagaikan kutipan hasil selain kutipan cukai taksiran.

Pendekatan itu diambil kerana menurutnya peratus guna tanah utama di Ampang Jaya kini terdiri daripada kediaman sebanyak 19.11 peratus, guna tanah komersial (3.08 peratus) dan rizab hutan (53.06 peratus).

“Jika kita amati ada beberapa kawasan ‘panas’ kini telah ‘agak sejuk’, nilai ekonomi turun dan mengurangkan hasil sedangkan jangkaan penduduk terhadap perkhidmatan MPAJ sentiasa tinggi dan kita perlu menyeimbangkan perkara ini selaras dengan punca hasil yang tidak meningkat.

“Sehubungan beberapa strategi untuk meningkatkan hasil perlu dirancang dan dilaksanakan supaya mendapat sokongan warga Ampang Jaya ke arah peningkatan hasil MPAJ kerana bila hasil bertambah bolehlah kita tawarkan perkhidmatan yang lebih baik buat semua,” ujarnya.

Ani juga menyeru seluruh warga kerja MPAJ agar terus membudayakan kerja berpasukan serta mengukuhkan kejujuran, keikhlasan dan integriti dalam setiap tugas yang dilakukan.


Pengarang :