Mesin pertukaran barangan kitar semula atau Reverse Vending Machine (RVM) yang ditempatkan di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk kegunaan orang ramai. Foto Facebook MPAJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPAJ sedia mesin kitar semula dengan ganjaran tunai

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyediakan mesin pertukaran barang kitar semula atau Reverse Vending Machine (RVM) untuk kegunaan awam di ruang legar ibu pejabatnya.

Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariatnya memaklumkan barangan yang boleh dikitar semula meliputi botol mineral plastik, tin aluminium dan kotak minuman tetra pak.

Berkonsepkan ‘kitar semula dan tebus ganjaran’, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata bayaran akan dimasukkan ke akaun pengguna melalui imbasan kod QR bagi setiap barangan.

“Sehingga kini, sebanyak 4,378 unit botol plastik, tin aluminium dan kotak minuman tetra pak dikumpulkan dengan jumlah bayaran RM178 kepada pengguna sejak 22 Mac lalu.

“Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga Ampang Jaya dialu-alukan untuk mengitar semula barangan yang sesuai dan tebus ganjaran melalui mesin RVM,” jelas PBT itu.

Menurut MPAJ, ganjaran boleh ditebus menggunakan aplikasi bank mengikut kadar harga semasa barangan antaranya lima sen bagi setiap botol plastik dan tin aluminium.

“Ganjaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank pengguna selepas disahkan oleh mesin RVM,” katanya menambah mesin tersebut diperuntuk daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).


Pengarang :