Yang Dipetua Majlis Perbandaran Selayang Dato’ Mohd Yazid Sairi. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS kutip RM49 juta cukai taksiran setakat April

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 31 MEI: Sebanyak RM49 juta cukai taksiran dikutip Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata jumlah itu merupakan 86.49 peratus daripada RM57 juta cukai taksiran yang perlu dikutip MPS pada tahun ini.

“Kita juga berjaya mengutip tunggakan cukai taksiran sebanyak 50.22 peratus atau RM6 juta daripada jumlah keseluruhan tunggakan cukai tahun ini yang bernilai RM12 juta,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Bulanan MPS di bangunan lama MPS hari ini.

Menurut Mohd Yazid MPS juga mengutip RM538,212.94 hasil bayaran lesen perniagaan, sewaan gerai, permit bangunan dan perancang.

Ujarnya kesemua kutipan itu diperoleh melalui 916 transaksi bayaran daripada portal MyMPS.

“MPS telah menaiktaraf portal MyMPS untuk para pelanggan melaksanakan transaksi secara dalam talian.

“Para peniaga digalakkan untuk terus menggunakan portal ini untuk membuat semakan, memperbaharui dan membuat bayaran lesen perniagaan, sewaan gerai, permit bangunan serta perancang di pautan https://mymps.mps.gov.my,” tambahnya.


Pengarang :