Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri ambil masa tiga tahun sempurnakan terjemahan karya agung al-Ghazali

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri mengambi masa sehingga tiga tahun untuk menyempurnakan terjemahan kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Dato’ Menteri Besar berkata terjemahan kitab yang memiliki 40 jilid itu sudah bermula dengan bab pertama telahpun selesai baru-baru ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari ramai sukarelawan menawarkan diri untuk membantu kerja terjemahan yang dikendali Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita memerlukan tiga tahun sebab jilidnya banyak. 40 jilid keseluruhannya tetapi kita rasa kita cukup.

“Pada peringkat awal ini kita mempunyai ramai sukarelawan dan mereka yang datang secara sendiri kepada kita menawarkan diri untuk membantu penterjemah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, selain beberapa tokoh ilmuwan Islam Nusantara.

Orang ramai membeli buku di reruai jualan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin memaklumkan kitab Imam al-Ghazali itu memerlukan kemahiran Bahasa Arab yang tinggi bagi memahami maksud sebenar karya agung tersebut.

Justeru, katanya, karya terjemahan itu akan diedar ke setiap institusi pengajian, masjid dan perpustakaan bagi menggalakkan belia melazimi bacaan naskhah Imam al-Ghazali.

“Ia merupakan antara karya yang terbesar yang mempengaruhi kepada pemahaman dan kehidupan umat Islam di Nusantara. Saya percaya ia karya penting yang wajar diberikan perhatian,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 peserta menghadiri seminar berkenaan. Ia merupakan program susulan majlis telaah Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hujung minggu lalu.

Festival Turath Islami Selangor diadakan 20 hingga 25 Mei bersempena projek terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.

Orang ramai mendengar ucapan perasmian oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketka Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :