Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan tahniah kepada Hafiz Hafizi Norependi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memenangi pertandingan akhir debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor (UIS), Hulu Langat pada 28 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PILIHAN MINGGUANSELANGOR

Negeri peruntuk RM4 juta teruskan bantuan yuran asas universiti

HULU LANGAT, 28 MEI: Kerajaan Negeri menyediakan dana sebanyak RM4 juta bagi meneruskan program Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada 4,000 pelajar secara keseluruhan.

“Bantuan ini diperuntukkan khas kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

“Atas keprihatinan tinggi Kerajaan Negeri insentif ini ditambah baik tahun ini dengan meningkatkan bantuan mengikut semester pengajian iaitu sebanyak dua kali setahun bagi setiap tahun pengajian berbanding sekali sahaja sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar 2023 di UIS hari ini.

BAYU merupakan bantuan yuran asas merangkumi bayaran perpustakaan, makmal, teknologi maklumat, kesihatan dan aktiviti pelajar yang meringankan beban kewangan kepada pelajar terutama bagi golongan B40 dan M40.


Pengarang :