Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib (kiri) mengacau bubur kacang ketika program Rewang Sekampung sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) peringkat daerah Gombak di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pada 14 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Negeri teruskan tradisi sumbang lembu, kambing sempena Aidiladha

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 14 MEI: Tradisi menyerahkan sumbangan lembu dan kambing kepada masjid, surau serta badan bukan kerajaan (NGO) diteruskan pentadbiran negeri sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya meluluskan sejumlah dana bagi melaksanakan perkara tersebut, sama seperti yang dilakukan beberapa tahun sebelumnya.

“Aidiladha memang ada rancangan tetapi kita tidak buat jelajah seperti Aidilfitri. Kita akan serahkan lembu korban di masjid, surau, pusat khidmat dan NGO. Ini memang tradisi kita,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat dan membantu petugas Rewang Sekampung menyediakan juadah sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak hari ini.

Pada 7 Mei, EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi sumbangan ibadah korban melibatkan agihan 1,000 ekor kambing dan 700 ekor lembu.

Beliau berkata peruntukan tahun ini bertambah berbanding tahun lalu berikutan kenaikan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor selain jumlahnya bertambah kepada 700 ekor kali ini.


Pengarang :