Orang ramai menunggu giliran membeli barangan keperluan asas yang dijual pada harga murah pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Kampung Parit Mahang pada 9 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Nombor giliran habis awal, jualan murah dinanti warga DUN Ijok

OLEH DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 9 MEI: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri semakin dikenali dan sentiasa dinantikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Parit Mahang berkata pihaknya hanya memaklumkan program melalui WhatsApp dan tidak lagi perlu meletakkan kain rentang.

“Setiap kali kita anjurkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER), kehadiran pasti melebihi 300 orang. Seawal 8 pagi penduduk mula beratur walaupun kita hanya edarkan nombor giliran pada 9 pagi.

“Jualan murah ini seperti pisang goreng panas memandangkan nombor habis diedar tidak sampai 20 minit sehinggakan ada penduduk yang tidak dapat nombor giliran,” kata Saidin Johan.

Beliau yang ditemui dalam program itu di sini hari ini menambah penduduk yang tidak mendapat nombor giliran tetap dibenarkan membeli barangan dapur selepas semua nombor dipanggil.

Beliau turut berharap program yang dianjurkan sebanyak 30 kali di DUN terbabit diteruskan bagi memanfaatkan penduduk terutama berpendapatan rendah (B40) dan tiada pendapatan tetap.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaannya dari September hingga Disember tahun lepas.


Pengarang :