KUALA SELANGOR, 10 MEI: Lebih 796,000 pokok ditanam di Selangor setakat ini sebagai usaha penghijauan negara menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.
Pengarah Perhutanan Negeri Azhar Ahmad berkata angka itu akan terus bertambah susulan maklum balas positif yang diterima berhubung kempen itu.
“Sesiapa saja boleh mendaftar jika mereka ada membuat penanaman pokok. Orang awam atau agensi digalak menyertai kempen ini.
“Mereka boleh mendaftar di laman sesawang kempen berkenaan jika mereka ada membuat penanaman pokok. Kita sasar tanam 100 juta pokok, justeru penyertaan semua pihak amat dialu-alukan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersama delegasi Dialog Kebangsaan Global Environment Facility Cycle-8 (GEF-8) di Hutan Simpan Raja Musa di sini, hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/no-1-1-500x306.jpg.webp)
Seramai 80 delegasi daripada pelbagai agensi termasuk luar negara menyertai sesi lawatan berkenaan yang bertujuan memupuk kesedaran ke arah pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya gambut di negeri ini.
Pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan serta kualiti hidup.
Ia juga antara lain bagi menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara melalui penanaman pelbagai jenis pokok.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/hutan-500x333.jpg.webp)