EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua, kiri) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd Dato’ Norashikin Taib (tengah) pada sidang media Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) di Westlink Garage and Cafe, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran hartanah didik masyarakat, miliki rumah pada usia muda

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) hujung minggu ini mampu mendidik golongan Bumiputera terutama golongan muda supaya celik dalam pembelian hartanah.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata menerusi pameran dua hari yang berlangsung di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley itu ia menjadi pusat sehenti kepada bakal pembeli yang tercari-cari bagaimana untuk memiliki rumah.

“Di sini pembeli boleh tahu mengenai kuota Bumiputera yang disediakan kerajaan selain khidmat nasihat daripada institusi kewangan.

“Selain itu Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Negara (SJKP) akan turut sama sebagai pemudah cara bagi membantu bakal pembeli yang tidak mempunyai slip gaji atau penyata kewangan,” katanya pada sidang media BPEX di sini hari ini.

Rodziah berkata pihaknya berharap pameran yang bermula dari jam 11 pagi hingga 9 malam itu tidak hanya dilihat sekadar pameran biasa sebaliknya bagi mendidik pembeli memahami kaedah pembelian rumah dengan jelas.

“Saya juga minta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk turut serta dalam pameran itu bagi berkongsi maklumat.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk memiliki kediaman sendiri pelaksanaan dasar Rumah Selangorku 3.0 yang menawarkan rumah pada harga berpatutan termasuk kepada golongan muda baru berkahwin kerana mahu melihat mereka memiliki hartanah,” katanya.

Sebelum ini Rodziah berkata LPHS merekodkan hampir 120,000 senarai menunggu bagi memiliki Rumah Selangorku.

Jumlah itu melebihi sekali ganda daripada sasaran Kerajaan Negeri yang merancang membina 60,000 unit rumah mampu milik itu menjelang 2025.

 


Pengarang :