Johan qari Izzat Aziz Zainal (kiri) dan johan qariah Nor Ruzana Natiah Jaafar (kanan) bergambar selepas majlis penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasangan qari, qariah Hulu Langat juara tilawah al-Quran Selangor

SHAH ALAM, 13 MEI: Minat mendalam terhadap al-Quran dan kerap membaca kitab suci itu antara amalan diterapkan Izzat Azizi Zainal sehingga berjaya dinobat johan qari tilawah peringkat Selangor tahun ini.

Guru tajwid sekolah rendah swasta itu terkejut dan tidak menyangka namanya diumum sebagai pemenang meski pun sudah menantikan gelaran itu sejak 2013.

Berkongsi amalannya, Izzat, 31, berkata beliau sentiasa meluangkan masa hampir setiap hari dari jam 9 malam hingga 3 pagi untuk berlatih membaca al-Quran kerana mahu memperbaiki kemahiran bacaan.

“Alhamdulillah, syukur apabila nama diumum sebagai juara qari peringkat Selangor, perjalanan masih jauh dan harapan saya insya-Allah sekiranya ada rezeki mahu menang di peringkat kebangsaan.

“Bagi saya kita perlu paksa diri berusaha membaca al-Quran dan lama kelamaan rasa cinta pada kitab suci ini sehingga rasa sayang kalau tidak bacanya satu hari,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada johan qariah Nor Ruzana Natiah Jaafar sempena majlis penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Sementara itu, johan qariah dimenangi Nor Ruzana Natiah Jaafar yang mengatakan beliau tidak sesekali berputus asa untuk menyertai pertandingan itu meski pun pernah cuti sakit selama lima tahun sebelum ini.

“Sejak 2018 saya berehat daripada menyertai program tilawah kerana pernah alami sakit sehingga hilang suara dan Alhamdulillah tahun ini rezeki saya terpilih sebagai juara, terima kasih atas sokongan dan doa terutama daripada suami dan ibu bapa.

“Tiada rahsia cuma apa yang saya amalkan adalah sentiasa bermujahadah dan kerap berjumpa guru untuk menuntut ilmu walaupun tidak sertai pertandingan tilawah,” katanya.

Orang ramai menghadiri majlis penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Nor Ruzana Natiah, 40, yang juga pengasas pusat pengajian al-Quran turut berkongsi tips untuk mengekalkan suara iaitu dengan mengelak minum ais selain tidak memakan makanan berminyak dan pedas.

Kedua-dua pemenang menerima wang tunai berjumlah RM15,000 berserta piala iringan, sepersalinan pakaian dan sijil penyertaan. Mereka akan mewakili Selangor pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini yang dijadual berlangsung di Butterworth, Pulau Pinang pada 11 hingga Jun ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang.Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

 


Pengarang :