BUDAYARENCANA

Patutkah pembaca pulau karyawan berbeza citra pandangan

Oleh Zeena Zayn

Bukan seperti rata-rata pembaca tegar yang lain, saya mula membaca siri Harry Potter agak lambat. Kisah pengembaraan si trio legenda itu baru saya hayati semasa saya sedang menjalani sesi latihan industri, tahun ketiga di universiti – sedangkan pembaca lain sudah habis menguliti ketujuh-tujuh buku itu sewaktu mereka masih bersekolah lagi.

Dan seperti mereka, saya begitu terpesona dengan dunia ahli sihir yang dibina oleh Rowling – usai sahaja membacanya, saya terus sort diri saya di dalam Hogwart house (sering sahaja saya mendapat Gryffindor sewaktu menjawab kuiz Pottermore, walaupun jauh dalam hati saya yakin yang saya seorang Hufflepuff – lihat bagaimana dunia Rowling begitu mempengaruhi saya?), mencari patronus berdasarkan personaliti diri, dan memilih wand di kedai Oliver Wood. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan, siri Harry Potter-lah yang menjadi benih kepada mekarnya minat saya dengan genre fantasi sekarang.

Namun malang sekali, Rowling yang pada awalnya saya mahu jadikan sebagai idola dalam dunia penukangan cerita – kisah manuskripnya yang akhirnya diterima setelah ditolak oleh berpuluh-puluh syarikat penerbitan itu sangat menginspirasikan – kini menjadi salah seorang penulis kontroversi apabila dia menyuarakan solidaritinya kepada Maya Forstater, yang telah membuat beberapa kenyataan transfobik (saya berpegang kepada pendapat bahawa transpuan adalah wanita dan transpria adalah lelaki).

Ia buat saya berfikir, apa yang patut kita lakukan sekiranya penulis kegemaran kita, yang karyanya memberikan impak yang sangat besar terhadap nilai dan pandangan hidup peribadi, serta menyelamatkan kita daripada lemas dalam ketiadaan, rupa-rupanya seorang yang bermasalah? Boleh jadi mereka berkelakuan buruk, melayan orang lain dengan teruk, telah melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, atau mempunyai nilai dan pandangan yang sangat berbeza dengan kita.

Adakah patut kita memboikot karya-karya mereka? Atau patutkah kita pisahkan karya daripada penulisnya?
Kalau kita ambil pilihan untuk boikot semua penulis yang menulis atau mengatakan sesuatu yang bobrok, kita akhirnya akan menolak karya-karya sastera besar yang menggugah dunia. Kita tidak akan dapat menguliti adikarya-adikarya Austen, Dr. Seuss, Lovecraft, Kipling, malah Shakespeare sekali pun, sebab kalau kita gunakan kayu ukur zaman kini, mereka semua ini sudah tergolong dalam golongan penulis yang bermasalah.

Dan apabila seseorang penulis itu merosakkan imej dan kredibiliti mereka dengan membuat kenyataan yang rasis, trans atau homofobik, seksis, islamofobik, atau anti-semitik, bolehkah kita memisahkan karya daripada penulisnya? Atau patutkah kita?

Dari satu sudut, kita bukannya tidak boleh membaca dan menyukai karya-karya seseorang penulis itu, hanya kerana mereka “jahat”. Boleh saja kita baca penulisan mereka, tanpa bersetuju dengan setiap tindakan atau kata-kata mereka sebab kita jatuh cinta dengan dunia dan watak-watak dalam cerita itu, dan bukannya pada penciptanya.

Kadang-kadang, kita tak boleh nak dapat semua benda yang kita nak dalam dunia ini. Contohnya, sesebuah adikarya yang sangat hebat, sehingga menghancurkan sesuatu yang konvensional dan mencipta genre atau bentuk konvensional yang baru, dicipta oleh orang yang bermasalah – seperti Lovecraft yang menginovasikan genre horor kosmik sehingga ada genre yang dinamakan sempenanya, Lovecraftian Fiction, adalah seorang yang sangat, sangat rasis. Jadi sayang, sekiranya kita mengasingkan diri daripada karya-karya hebat ini, hanya kerana seluruh dunia tidak bersetuju dengan peribadi penulisnya (kerana tidak salah pun untuk kita menyukai sesuatu karya, tanpa bersetuju dengan orang yang menukanginya).

Kerana yang penting, adalah apa yang kita peroleh daripada karya-karya mereka. Siri Harry Potter mengandungi banyak aspek positif yang dapat dipelajari, bahkan ada pembaca yang mempelajari makna inklusiviti daripadanya, dan sikap diskriminasi Rowling tidak akan dapat menjejaskan nilai-nilai murni yang terdapat dalam siri tersebut.

Namun, di satu sudut yang lain pula, kalau kita tak memboikot penulis-penulis bermasalah ini, duit dan publisiti yang mereka peroleh daripada jualan-jualan karya itu akan terus memberikan mereka ruang serta platform kepada mereka untuk terus meluahkan retorik-retorik terkutuk mereka itu.

Media sosial telah mencairkan garis sempadan antara kehidupan peribadi penulis dengan pembacanya. Para penulis bukan setakat menjual karya-karya mereka, malah mereka juga turut “menjual” personaliti dan ideologi mereka. Sebab itu, pembaca akan terasa susah untuk pisahkan karya daripada penulisnya kerana segala kebobrokan penulis, sedia terhidang di media sosial untuk tatapan semua.

Sesebuah karya itu tidak tercipta daripada vakum – ia secara tak langsung terhasil daripada sudut pandangan dan ideologi penulis tersebut, walaupun tidak banyak, pasti akan ada sedikit. Walaupun tiada apa-apa yang transfobik di dalam siri Harry Potter, tetapi antara buku terbaharu yang dihasilkannya dengan nama pena Robert Galbraith, Troubled Blood, telah diklasifikasikan oleh pengkritik, mempunyai unsur transfobia, apabila ia mengisahkan tentang seorang pembunuh bersiri lelaki yang berpakaian seperti wanita. Inilah yang akan terjadi sekiranya penulis bermasalah tidak dipulaukan karyanya – ia memberi ruang kepada penulis tersebut untuk memasukkan agenda atau ideologi buruknya ke dalam karya-karyanya yang lebih baharu.

Persoalan patutkah karya dipisahkan daripada karyawannya adalah satu persoalan yang panjang dan jawapannya bukanlah semudah ABC, tetapi ia adalah satu wacana yang sangat penting untuk dibincangkan.
Bagi saya, jika penulis tersebut masih hidup dan mempunyai akses atau platform untuk menyebarkan ideologi bobrok mereka, karya daripada penulis tersebut perlulah diboikot. Sekarang ini, ada tersangat banyak pilihan penulis yang menghasilkan karya-karya yang lebih hebat dan inklusif. Kenapa tidak memilih mereka?

Lain pula cerita sekiranya penulis tersebut sudah meninggal dunia, dan yang tinggal hanyalah karya-karya mereka yang mungkin ditulis berdekad lalu iaitu pada zaman yang tidak mempunyai kesedaran akan hal-hal yang sebenarnya sensitif dan bermasalah. Mereka sudah tiada platform untuk menyebarkan ideologi teruk mereka. Yang ada, mungkinlah karya-karya mereka yang penuh dengan hal-hal kontroversi, yang mana, kita sebagai pembacalah yang perlu membacanya dengan kritis.

Rowling atau Lovecraft mungkin contoh yang “jauh”. Bagaimana penulis tempatan yang problematik? Patutkah kita boikot penulis yang curang dengan isterinya? Atau penulis yang fasis dan pro-Nazi? Atau penulis miang yang mengagung-agungkan payu dara perempuan tanpa rasa malu? Jangan lupa juga pada penerbit tempatan yang turut bermasalah. Patutkah kita pulaukan penerbit yang lambat membayar gaji pekerjanya? Atau yang tidak menjaga kebajikan pekerjanya?

Boikot atau tidak, yang pasti, kita sebagai pembaca, ada kuasa untuk membuat pilihan itu. Jadi, buatlah pilihan dengan bijak.


Pengarang :