Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (pengurusan) Mohamad Zahri Samingon (berdiri dua kiri) dan Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim (berdiri tengah) menyampaikan sumbangan kepada Suraini Md Saad (berdiri dua kanan) balu kepada Allahyarham Mohd Shuhaimi Puteh @ Hashim di kediaman beliau di Taman Sri Menegon Klang pada 5 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pejabat Kerajaan Negeri santuni keluarga kakitangan meninggal dunia, hulur sumbangan tunai

KLANG, 5 MEI: Pejabat Kerajaan Negeri menyerahkan sumbangan RM3,000 kepada keluarga kakitangannya, Allahyarham Mohd Shuhaimi Puteh yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 24 April lalu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon berkata pemberian itu diharap dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

“Saya mewakili Pejabat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Kami turut menyampaikan wang sumbangan RM3,000 bagi meringankan sedikit beban,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, Mohamad Zahri bersama wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyantuni keluarga Allahyarham di rumah mereka dekat Taman Sri Menegon di sini.

Pengarah Perkeso negeri Ismail Abi Hashim turut menyerahkan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 dan faedah Pencen Penakat sebanyak RM567 kepada balu Allahyarham, Suraini Md Saad, 38.

Menurut Ismail, Allahyarham yang bekerja sebagai pemandu memenuhi syarat kelayakan dibawah skim keilatan yang membolehkan Perkeso mengurus pembayaran faedah serta pencen kepada balu.

“Dengan adanya sedikit bantuan ini, kita harap keluarga dapat sedikit pembelaan. Kita menyeru rakyat Selangor untuk sentiasa menyemak dengan Perkeso jika ada berlaku kematian,” katanya.

Allahyarham Mohd Shuhaimi, 39 yang juga anak ketiga daripada enam beradik meninggal dunia selepas menerima rawatan selama lima hari di Hospital Shah Alam.

Allahyarham dibawa ke hospital tersebut oleh rakan sepejabatnya ketika sedang bertugas kerana mengadu penat, selain meninggalkan seorang balu yang baharu dinikahi pada akhir tahun lalu.


Pengarang :