Usahawan kebun sayur organik Fresh Growcer, Emil Jihad, 32, (kanan) memberi penjelasan kepada pelanggannya mengenai tanaman sayuran yang segar ketika tinjauan di kebun Fresh Growcer, One Utama baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekebun: Hasil tanaman lebih banyak, berkualiti di sebalik cuaca panas

SHAH ALAM, 8 MEI: Hasil pengeluaran sayur lebih banyak dan berkualiti tinggi di sebalik cuaca panas yang melanda negara ketika ini, kata Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia.

Menurut Setiausaha Agungnya Chay Ee Mong, pihaknya tidak berdepan isu kemerosotan hasil tanaman, sebaliknya berlaku lebihan sehingga ia terpaksa dibuang, lapor portal Sinar Harian.

“Sebenarnya dalam sektor pertanian cuaca panas baik untuk pertanian selagi tanaman memperoleh air mencukupi,” katanya yang turut berkongsi suhu ideal bercucuk tanam sekitar 35 darjah Celsius.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan cuaca terlampau panas sehingga mencecah 40 darjah Celsius boleh menjejaskan tanaman dan meningkatkan risiko serangan serangga perosak.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka cuaca panas yang melanda negara ketika ini berlanjutan sehingga Ogos berikutan perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya.

Jabatan itu dalam laporannya turut meramal kebarangkalian berlaku El Nino sekitar 57 peratus antara Jun hingga September dan meningkat kepada 62 peratus (September hingga November).

Fenomena itu berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus menyebabkan sistem iklim berubah kepada panas dan kering serta kurang taburan hujan.

Pada 5 Mei, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyenaraikan Selangor antara lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El Nino mengikut pengalaman antara 2015 hingga 2016.


Pengarang :