Kumpulan pendaki Malaysia Everest 2023 yang turut disertai Muhammad Hawari, Awang Askandar merakam kenangan ketika pendakian mereka ke Kem 1 dan Kem 2 sebelum kembali semula ke base camp pada 3 Mei 2023. Foto Facebook Malaysia Everest 2023
AGENDANASIONAL

Pencarian pendaki Malaysia diteruskan hari ini melalui jalan darat

PUTRAJAYA, 21 MEI: Usaha pencarian dan operasi mencari menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas berjaya menawan puncak Everest, memasuki hari ketiga dan akan diteruskan hari ini.

Pendaki negara, Tiong Ling Yang, 30, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan malim gunung semalam untuk meneruskan SAR melalui jalan darat hari ini.

Menurutnya, dia bersama pengurus pasukan ME 2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, dan Ketua Misi, Azim Afif Ishak, 35, masih dalam keadaan terkejut dan sedih berhadapan dua situasi tidak diduga iaitu kehilangan Muhammad Hawari dan kematian Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.

“Saya diarahkan turun ke Everest Base Camp (EBC) oleh Ketua Misi bagi menguruskan SAR Hawari manakala Azim Afif mengendalikan proses membawa turun jenazah Allahyarham Awang Askandar sehingga ke kem dua supaya jenazah dapat diterbangkan dengan helikopter ke hospital bagi proses bedah siasat,” katanya dihubungi semalam, lapor Berita Harian.


Antara cabaran dilalui pendaki Malaysia Everest 2023 yang meneruskan perjalanan pendakian ke Kem 1 dan Kem 2 sebelum kembali semula ke base camp pada 3 Mei 2023. Foto Facebook Malaysia Everest 2023

Menurutnya setakat semalam jenazah Awang Askandar masih berada di kem empat dan belum dapat dibawa turun atas beberapa faktor termasuk cuaca.

Sementara itu Ayu Wanirah berkata SAR semalam dilakukan melalui udara yang turut disertai Azim Afif namun kelibat Muhammad Hawari masih belum dapat dikesan.

Menceritakan pada hari kejadian, dia bersama Azim Afif dan Tiong berada di kem dua menerima berita mengejutkan itu daripada malim gunung yang menghubunginya melalui walkie-talkie.

Menurutnya, kali terakhir mereka berhubung dengan Muhammad Hawari adalah selepas beliau berjaya menawan puncak pada Khamis lalu jam 3.30 petang waktu Nepal (5.45 petang waktu Malaysia) untuk berkongsi kejayaan dicapainya itu melalui walkie talkie.

“Menyedari kehilangan Hawari, satu operasi menyelamat (SAR) digerakkan pada hari sama disertai lapan malim gunung sehingga 11 malam.

“Mereka melakukan pemeriksaan di setiap khemah bermula dari kem empat hingga dua bagi memastikan sama ada beliau ada singgah menumpang berteduh dan berehat namun gagal dikesan,” katanya.

Menurut sumber, Muhammad Hawari keluar dari khemah di kem empat (8,000 meter dari aras laut) tanpa pengetahuan malim gununng.

Ketika Muhammad Hawari keluar Awang Askandar, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah yang berhadapan masalah kesihatan, masih dalam keadaan sedar sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 10.30 pagi (12.45 waktu Malaysia).


Pengarang :