Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menyusun barangan jualan pada Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang 3 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk akui jualan murah ringankan beban kos sara hidup, usaha negeri dipuji

Oleh SHAMZ JOHAN

HULU KELANG, 3 MEI: Inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dengan menawarkan barangan asas pada harga murah dipuji penduduk.

Jalil Abu Shahri, 34, berkata masih ramai rakyat yang memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan menampung kos sara hidup dan JER sedikit sebanyak membantu mereka.

“Keadaan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya, masih ramai perlu dibantu terutama golongan miskin bandar dan keluarga muda dengan tanggungan.

“Program jualan murah ini antara kaedah dan inisiatif yang dapat membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Menurut Setiausaha Badan Pengurusan Bersama, Jaafar Nordin, 68, selain meringankan beban, lokasi penganjuran program juga memain peranan penting.

“Majoriti penduduk di sini dari keluarga berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kenderaan, jadi lokasi penganjuran JER di kawasan kediaman sangat memudahkan penduduk.

“Program ini juga atas permintaan penduduk sendiri yang mahukan manfaat dasar-dasar kerajaan menyantuni rakyat khususnya di Selangor,” katanya.

Manakala Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Berembang Indah, Ainon Aduan, 53, berkata pihaknya bekerjasama dengan Badan Pengurusan Bersama dan jawatan kuasa surau bagi membantu kelancaran program.

“Banyak keluarga dengan anak yang ramai, justeru kami bekerjasama bagi memastikan program berjalan lancar selain berharap agar jualan murah ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk,” katanya.

Terdahulu jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di Dewan Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang di sini hari ini mendapat sambutan baik dengan lebih 300 penduduk hadir sejak jam 8.30 pagi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan pada harga murah di jualan Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang pada 3 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :