Ahli Majlis Klang Zaleha Jalal ketika ditemui pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Sungai Kandis pada 23 Mei 2023. FOTO FITRI HAZIM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penduduk mahu jualan murah diteruskan, gembira dapat jimat belanja

Oleh Fitri Hazim

SHAH ALAM, 23 MEI: Rata-rata penduduk gembira dan mahu program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diteruskan pada masa akan datang.

Ahli Majlis Klang Zaleha Jalal berkata menerusi JER penduduk dapat menjimatkan perbelanjaan dapur mereka.

“Jualan murah ini sangat bermakna buat penduduk untuk memenuhi kepeluan asas mereka dan sering menunggu giliran program JER ini diadakan kawasan Sungai Kandis.

“Mereka gembira dan ada suarakan mahu program JER ini diteruskan,” katanya ketika ditemui pada program JER di Dewan Orang Ramai Kampung Lombing DUN Sungai Kandis.

Ahmad Fakri

Tambah Zaleha, sambutan program jualan murah hari ini amat menggalakkan dengan orang ramai mula beratur seawal jam 9 pagi.

Sementara itu, peniaga Zaida Misran,54, berkata dia datang ke jualan murah berkenaan untuk membeli beras cap Ehsan PKPS yang dijual pada harga RM10 untuk lima kilogram.

“Saya beli barang untuk berniaga. Beras utama sangat berkualiti, bila masak nasi tidak lembik. Nasi jadi lembut, pelanggan saya suka.

“Beli beras di sini juga dapat menjimatkan harga sebanyak RM5 untuk setiap lima kilogram,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Ahmad Fakri,42, pula, program ini boleh menjimatkan belanja bulanannya sehingga RM200.

“Hari ini saya bawa keluarga beli barang seperti minyak masak, beras, ikan dan telur dengan kuantiti untuk simpanan sehingga bulan hadapan.

Zaida Misran

“Perbelanjaan di sini menjimatkan RM200 jika dibandingkan beli di luar,” kata pengajar sebuah kolej itu.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Inisiatif itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.


Pengarang :