Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan pengawal keselamatan yang tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, pada 4 Mei 2023. Foto Facebook KPKT Malaysia
AGENDANASIONAL

Pengawal keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Pengawal keselamatan maut selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, di sini awal pagi tadi.

Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata lelaki berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, terdapat bongkah batu jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu, pada jam 8 malam tadi.

“Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu namun tidak sempat.

Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan pengawal keselamatan yang tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, pada 4 Mei 2023. Foto Facebook KPKT Malaysia

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam tadi dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi,” katanya di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Rizuan berkata seramai 41 anggota bomba dikerahkan ke lokasi melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh bagi operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan jam 6.30 pagi ini dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :