Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (baju biru gelap) bertanya sesuatu dengan pekerja di sebuah kedai runcit ketika meninjau pasar awam Plaza Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2 Mei 2023. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
AGENDABERITA UTAMAPBT

Peniaga langgar peraturan berdepan tindakan sita barang, tarik lesen

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 4 MEI: Peniaga pasar awam Plaza Taman Sri Muda di sini berdepan tindakan tegas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk menyita barang dagangan dan menarik lesen jika tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata pihaknya memandang serius aduan yang diterima mengenai peniaga yang melanggar peraturan di pasar awam berkenaan.

Menurut beliau antara aduan itu ialah berniaga tanpa lesen, menggaji pekerja asing, membiarkan warga asing mengurus perniagaan dan melakukan penyembelihan ayam dan itik di dalam pasar.

“Walaupun pasar awam ini dikendalikan pihak swasta, peniaga perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid mendengar penerangan daripada pegawai ketika meninjau pasar awam Plaza Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2 Mei 2023. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

Kelmarin Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bersama Ahli Majlis MPP Zon 9 Ramu Nadarajan serta Pengarah Bahagian Pelesenan MBSA Madiyan Baweh melakukan tinjauan di pasar awam berkenaan.

Tinjauan dijalankan berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai mengenai masalah di pasar itu termasuk melibatkan pekerja warga asing.

Sehubungan itu MBSA mengingatkan peniaga supaya tidak melanggar peraturan atau berdepan tindakan tegas.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian bebas tol MBSA 1800-88-4477.

Plaza Taman Sri Muda yang diuruskan syarikat swasta merupakan premis perniagaan lima tingkat dengan bahagian bawahnya adalah pasar awam.

Di pasar awam itu terdapat 29 lesen dikeluarkan untuk peniaga antaranya menjual sayuran, daging, ikan, barangan runcit dan kedai gunting rambut.


Pengarang :