Penjaja dan pengusaha restoran di Selangor diwajibkan memakai pelitup muka mulai 1 Januari 2023 bagi mengelak penularan Covid-19 dan mencegah isu keracunan makanan sekali gus menambah keyakinan pelanggan. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga makanan tidak pakai pelitup muka didenda RM1,000 mulai Julai

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 9 MEI: Pengendali makanan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berdepan denda RM1,000 jika ingkar arahan pemakaian pelitup muka mulai 1 Julai.

Yang Dipertua Dr Ani Ahmad berkata terdapat 800 restoran dan 5,000 penjaja makanan di kawasan terbabit namun 90 peratus daripada mereka masih tidak mematuhi arahan tersebut.

“Kita masih dalam tempoh pemantauan dan mendidik sehingga akhir Jun ini.

“Dalam tempoh pemantauan ini kita telah mengedarkan 13,000 notis melalui emel dan mengedarkan 5,000 notis kepada para peniaga makanan ini secara bersemuka bagi memaklumkan mereka agar memakai pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Yang Dipertua MPAJ Ke-9 di Menara MPAJ semalam.

Ani juga berharap semua pengendali makanan mematuhi arahan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri.

“Janganlah tunggu sampai kita buat penguatkuasaan baru nak ikut arahan. Pemakaian pelitup muka ini untuk keselamatan diri dan penjagaan kebersihan,” tegasnya.

Pada 6 Februari lalu MPAJ memaklumkan pihaknya melakukan pemantauan selama enam bulan bagi memastikan pengendali makanan mematuhi arahan pemakaian pelitup muka bermula 1 Januari.

Dato’ Menteri Besar sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di Selangor.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pendekatan itu dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelak penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :