Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati makan tengah hari bersama rakyat di Medan Selera Persiaran Majlis, Kuala Langat pada 5 Mei 2023 Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Peniaga medan selera raih pengalaman layan PM makan tengah hari

Oleh SHAMZ JOHAN

KUALA LANGAT, 5 MEI: Peniaga nasi campur di Medan Selera Persiaran Majlis di sini meraih pengalaman berharga bertemu dan melayan Perdana Menteri makan tengahari.

Suzana Mohd kasim, 58, berkata dia bersama anak-anak teruja selepas mendapat makluman Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkunjung ke kedai makannya.

“Saya akui terkejut dan tidak percaya, pada mulanya, kami fikirkan ia hanya gurauan. Tapi Alhamdulillah, saya dan anak-anak dapat melayani semua tetamu dengan lancar.

“Selama 20 tahun berniaga di sini, inilah kali pertama menerima kunjungan orang kenamaan dan tidak sangka Perdana Menteri sendiri, ia satu pengalaman berharga buat kami sekeluarga” katanya.

Orang ramai menikmati makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Medan Selera Persiaran Majlis, Kuala Langat pada 5 Mei 2023 Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau memberitahu antara rahsia kesedapan masakannya adalah menggunakan ikan segar yang dibeli terus dari jeti.

“Ikan segar dibeli terus dari Jeti Kelanang dan Jeti Batu Laut, kami anak-beranak amat gembira apabila Perdana Menteri berselera mencuba masakan ala kampung yang disediakan,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama pemimpin setempat di Gerai Suzana, Selera 7 diiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah, ADN Morib Hasnul Baharuddin dan ADN Banting Lau Weng San.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Dato’ Sri Abd Rahim.

Beliau sempat mencuba hidangan kari ikan jenahak, sambal udang dan kerabu ulam sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Solihin kira-kira tiga kilometer daripada situ.


Pengarang :