AGENDAJENAYAH

Pensyarah wanita rugi lebih RM2.5 juta diperdaya sindiket menyamar ejen insurans

KUANTAN, 18 MEI: Seorang pensyarah wanita mendakwa kerugian lebih RM2.5 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans, sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 52 tahun mendakwa dihubungi suspek kononnnya daripada syarikat insurans pada 22 Jan lepas, bagi siasatan tuntutan palsu dan penggubahan wang haram melibatkan mangsa.

“Suspek dikatakan mengarahkan wanita itu membuka dua akaun bank baharu sebagai akaun siasatan sementara dengan butiran perbankan termasuk gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) beserta kata laluan diserahkan kepada suspek.

“Mangsa juga diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanan ke dua akaun itu yang diturutinya dengan mengeluarkan simpanan bank, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa mula mengesyaki ditipu apabila gagal menghubungi suspek untuk bertanyakan perkembangan siasatan sebelum mendapati wang simpanannya di dua bank tersebut telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.

Sehubungan itu, menurutnya wanita tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Orang awam dinasihatkan berwaspada dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam.

Semakan nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :