Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Penyelaras DUN Batang kali di Dewan Komuniti Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 14 Mei 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
AGENDANASIONAL

Penyelaras DUN Batang Kali ketepi perbezaan politik, sedia hulur bantuan untuk rakyat

SHAH ALAM, 19 MEI: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad sedia membantu ahli parlimen Hulu Selangor menyalur bantuan kepada penduduk setempat.

Katanya, beliau sentiasa mengetepi perbezaan fahaman politik, malah bercadang untuk duduk semeja dengan Hasnizan Harun dari Perikatan Nasional demi memastikan kebajikan rakyat.

Turut menerima banyak permohonan bantuan, Saifuddin berkata peruntukan sumbangan atau kerja baik pulih projek kecil masih ada walau tempoh perkhidmatannya berbaki kurang dua bulan.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berhasrat untuk duduk semeja dengan Yang Berhormat Hasnizan Harun dan melihat semula permohonan yang dapat diselesaikan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu mengulas rungutan Hasnizan di Facebook hari ini berikutan kesukarannya untuk menyalur bantuan kepada rakyat sejak terpilih ahli parlimen dalam pilihan raya umum lalu.

Mandat Kerajaan Selangor berakhir berikutan Dewan Undangan Negeri terbubar secara automatik pada 25 Jun. Selangor tidak menyertai pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada tahun lalu.

Saifuddin, yang menjelaskan sumbangan dan peruntukan tertakluk proses dan tatacara tertentu, berharap Hasnizan tidak menolak tawarannya itu demi kebaikan penduduk.

“Moga sahaja semangat bipartisan (rentas parti) ini memberi kebaikan buat penduduk Batang Kali khasnya dan memastikan suara mereka di atas jalur apapun terus dibela,” katanya lagi.


Pengarang :