Majikan berpeluang mendaftarkan pekerja secara sukarela sepanjang Bulan Pemutihan yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 hingga 30 Jun. Foto Arkib Selangorkini
AGENSISELANGOR

Perkeso Selangor sasar 70,000 suri rumah daftar skim keselamatan sosial

KLANG, 5 MEI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyasarkan 70,000 wanita berdaftar dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya Ismail Abi Hashim berkata setakat ini kira-kira 6,000 suri rumah di Selangor sudah mendaftar dalam skim yang dilaksanakan 1 Disember lalu.

“Kita masih meneruskan usaha bertemu pimpinan masyarakat untuk pastikan lebih ramai wanita berdaftar dan mencarum dalam skim ini.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim ketika majlis penyerahan sumbangan kepada Suraini Md Saad balu Allahyarham Mohd Shuhaimi Puteh @ Hashim di Taman Sri Menegon Klang pada 5 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ini satu insentif terbaik dan merupakan satu perlindungan untuk apa jua kemalangan domestik terutamanya ketika sedang mengurus rumah tangga,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga pencarum, Allahyarham Mohd Shuhaimi Puteh yang juga kakitangan Pejabat Kerajaan Negeri di Taman Sri Menegon di sini, hari ini.

SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Ia terbuka kepada wanita bawah 55 tahun yang bekerjaya atau tidak bekerja, serta berkahwin atau bujang, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar awal.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000.


Pengarang :