Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin pneumokokal kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Peruntuk 2,000 dos vaksin buat jemaah haji, negeri sedia tambah jika perlu

SHAH ALAM, 19 MEI: Pentadbiran negeri sedia menambah lagi jumlah vaksin pneumokokal jika mendapat permintaan daripada bakal jemaah haji, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan sebanyak 2,000 dos disediakan, dengan lebih 1,300 digunakan setakat ini sempena kursus haji di Masjid Negeri, awal bulan ini.

“Mulanya kita sediakan 1,500 dos, namun disebabkan permintaan tinggi kita tambah lagi 500. Jemaah boleh dapatkan vaksin berkenaan di Klinik Selcare Universiti Selangor.

“Sekiranya mendapat permintaan lagi selepas ini, kita bersedia untuk menambah jumlah dos bagi memudahkan urusan bakal jemaah,” katanya ketika dihubungi.

Pada 6 Mei, beliau berkata pemberian vaksin kepada jemaah haji terutama warga emas bagi melindungi mereka daripada jangkitan paru-paru ketika menunaikan ibadah.

Prapendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bermula 6 Mei atau hubungi talian 1-800-22-6600 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :