Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menewaskan Bangladesh 5-1 pada aksi di Salalah, Oman pada 25 Mei 2023. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Piala Remaja Asia: Skuad hoki teruskan rentak cemerlang, belasah Bangladesh 5-1

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan berpesta gol membelasah Bangladesh 5-1 pada aksi kedua saingan Kumpulan B Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman, malam ini.

Pada aksi di Kompleks Belia Sultan Qaboos, skuad muda negara bimbingan Muhamad Amin Rahim bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit kelapan sebelum penyerang Shahmie Irfan Suhaimi menggandakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

Skuad remaja negara terus mengganas apabila Muhammad Syamim Naim Abd Hamid cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit kemudian, namun gawang Malaysia dirobek pada suku kedua permainan oleh Md Abdullah menerusi pukulan sudut penalti.

Shahmie Irfan kembali menjarakkan kedudukan apabila mencipta hatrik dengan jaringan pada minit ke-43 dan 59 bagi memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Malaysia.

Mengulas mengenai kejayaan pasukan remaja kebangsaan yang mengekalkan rentak kecemerlangan, Muhamad Amin memuji sikap berdisiplin anak buahnya dalam mempersembahkan aksi menarik mengikut strategi yang diatur bagi menentang Bangladesh.

“Alhamdullilah kita berjaya mengekalkan kemenangan kedua menentang Bangladesh, ia satu jaringan yang agak baik secara keseluruhan. Saya puji pemain kerana mereka kekal disiplin dalam minit permainan mengikut game plan yang kita sudah aturkan dan ini adalah hasil (kemenangan).

“Kita dapat tujuh pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan dan kita menjaringkan tiga dari tujuh, ia adalah peratusan yang baik. Namun, kita juga melepaskan satu gol dan saya rasa sebab (pemain) kurang tumpuan…saya harap sikap ini tidak boleh berterusan,” katanya dalam video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Dua hari lepas (23 Mei), skuad remaja negara memulakan kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 dengan bergaya selepas membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B.

Skuad muda negara akan menentang Korea Selatan pada 27 Mei dan menutup saingan kumpulan bertemu Oman (30 Mei) dengan sasaran menduduki dua tempat teratas untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia buat julung kali pada 2012 sekali gus menamatkan penantian 20 tahun untuk merangkul kejuaraan itu selepas mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

—  BERNAMA


Pengarang :