BUDAYARENCANA

Pintu dan kelkatu

sewaktu aku melangkah
meninggalkan rumah,
pesan pintu –
walau sesat
pulang lewat
jangan lupa ketuk pintu
berilah salam
dan ucapkan selamat malam
walaupun sayap dini
sudah mengepak merebut hari;

sesat itu lumrah
kerana atas nama sebatang jalan
ia tetap panjang berliku tajam,
ada permulaan
tetapi tetap samar
noktah akhirnya,
pulang lewat itu juga lumrah

hanya dengan alasan mudah
kita bisa lolos masuk ke rumah
walau kita ada rahsia
peribadi yang lebih seru
mahu menyembunyikan
sayap kelkatu
atau serpihan cahaya suram
lampu jalanan yang berjatuhan
di lorong lorong kelam,
aduhai
seekor kelkatu
dengan seribu alasan
tetap tidak menemui jalan pulang.

 

Awang Abdullah

 


Pengarang :