Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM pesan hargai jasa ibu, jaga dengan penuh kasih sayang

KUALA LUMPUR, 14 MEI: “Bagi kita yang masih punyai ibu, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang,” demikian seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena memperingati sambutan Hari Ibu, hari ini.

Anwar ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka mengambil kesempatan itu mengajak rakyat supaya sentiasa menghargai pengorbanan serta jasa yang dicurahkan insan bergelar ibu.

“Sumbangan, latihan, pendedahan, menjadi tempat mengadu dan kasih mereka itu sukar diganti. Yang ada isteri yang juga ibu kepada anak-anak, tunjuklah kasih sayang kepada mereka.

“Yang telah meninggalkan kita, pastikan kita sentiasa mendoakan mereka dan semoga Allah memberikan keampunan dan kasih sayang kepada mereka,” kata Perdana Menteri.

Anwar juga sempat menyanyikan bait-bait lagu seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berjudul “Sungguh Malangnya Nasibku” yang mengisahkan kehidupan insan tanpa sosok bergelar ibu dan ayah.

Beliau turut mengaitkan situasi lagu itu dengan kisah pemergian ibunya ketika beliau menjalani hukuman di penjara.

Anwar berkata: “Lagu P.Ramlee berbunyi, ‘…tidak bertempat nak mengadu, alam keliling membisu, kalau ada ayah dan ibu,Tak kan begini nasib ku….’” .

“Kalaupun ada sekali saya menangis ialah ketika saya puluhan tahun dalam penjara, ibu saya meninggal dunia dan saya meringkuk di dalam penjara,” katanya.

Sambutan Hari Ibu di Malaysia disambut pada 14 Mei setiap tahun.

-BERNAMA


Pengarang :