Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di Ipoh pada 28 Mei 2023. Foto Facebook Zahid Hamidi
AGENDANASIONAL

PM terima kad media emas, simbolik hargai usaha angkat martabat

IPOH, 28 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia kategori emas, bersempena kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di sini hari ini.

Penyerahan kad media kepada Perdana Menteri itu dilakukan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai menghargai usaha Anwar dalam mengangkat martabat kebebasan media di Malaysia.

Turut hadir pada sesi penyerahan di reruai Jabatan Penerangan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Kad Perakuan Media merupakan satu dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kepada pengamal media daripada agensi dan syarikat media yang didaftarkan dan diperakukan oleh kerajaan secara rasmi melalui Jabatan Penerangan Malaysia untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan.

Terdapat lima kategori warna kad yang dikeluarkan iaitu warna hijau mewakil media rasmi kerajaan, warna biru mewakili media tempatan (cetak dan elektronik), warna kelabu mewakili media digital, warna merah mewakili media antarabangsa dan warna emas kepada pegawai penyelaras media.

Purata tahunan pengeluaran bagi permohonan baharu dan memperbaharui Kad Perakuan Media oleh pengamal media di Malaysia adalah sebanyak 3,000 keping setahun.

-BERNAMA


Pengarang :