Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (lima, kanan) ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim bergambar bersama sebahagian penyumbang dan peserta Kejohanan Golf Amal PNSB di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada 21 Mei 2023. Foto Permodalan Negeri Selangor Berhad
AGENDANASIONAL

PNSB kutip RM20,000 sempena golf amal, dana diagih kepada empat rumah kebajikan

SHAH ALAM, 23 MEI: Sejumlah RM20,000 dikumpul sempena kejohanan Golf Amal Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club di sini pada 21 Mei.

Agensi itu berkata dana berkenaan diagihkan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7, Shah Alam dan Pertubuhan Pusat Jagaan Limpahan Kasih.

Dana sama turut disalurkan kepada Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah dan Good Samaritan Home Care Centre.

“Penganjuran kali ini bermatlamat untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih selain merupakan sebahagian dari program tanggungjawab sosial korporat PNSB selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2019.

“Kejohanan ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara PNSB dengan ketua jabatan Kerajaan Selangor, pegawai daerah, dato’ bandar, ketua dari sektor swasta dan korporat,” katanya dalam kenyataan.

Golf Amal PNSB turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim yang juga merupakan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PNSB dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Kejohanan kali ini menyaksikan seramai 132 peserta dari pelbagai jabatan, agensi dan organisasi bersaing bagi merebut hadiah juara keseluruhan selain tawaran hadiah bagi kategori medal A dan B.

Juara keseluruhan dalam kejohanan kali ini menjadi milik Romie Akmali Mohd Nor, sementara Rudy Syahrizal Elham (naib juara) dan Imran Md Nor (tempat ketiga).

Pemenang kategori Medal A pula dimenangi oleh Ng Jun Lip manakala Abd Rahman Ismail memenangi kategori Medal B.


Pengarang :