Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama tetamu ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor 2023 di Taman Sri Gombak pada 14 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Prestasi ekonomi lebih baik dari negara serantau hasil pentadbiran stabil

GOMBAK, 14 MEI: Pentadbiran kerajaan perpaduan yang stabil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih kukuh pada suku pertama tahun ini, kata perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.6 peratus antara Januari hingga April, lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau.

“Enam bulan ini apa yang jadi? Pertumbuhan suku pertama kita diunjurkan lebih tinggi dengan 5.6 peratus. Lebih tinggi daripada China, Vietnam dan Indonesia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini maknanya tatakelola kita betul,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan prestasi ekonomi disokong peningkatan aktiviti merentas semua sektor antaranya perkhidmatan yang berkembang 7.3 peratus dan pembuatan (3.2 peratus).

Dalam pada itu, perdana menteri yakin kesepakatan 19 parti dalam kerajaan perpaduan akan diterjemah menerusi kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.

“Saya percaya kita boleh tebus kembali seluruh Gombak. Orang yang khianat jangan dilayan,” katanya.


Pengarang :