Projek Gerbang Maritim Selangor memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Projek dalamkan Sungai Klang manfaatkan 500,000 penduduk di kawasan bah

SHAH ALAM, 18 MEI: Projek pendalaman Sungai Klang bagi mengelakkan limpahan air bakal memanfaatkan sekitar 500,000 penduduk terutama di kawasan berpotensi banjir.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin berkata kawasan itu meliputi Taman Sri Muda, Bukit Lanchong, Kampung Tengah dan Kampung Baru Hicom.

Beliau menjelaskan projek tersebut dimulakan rentetan kapasiti Sungai Klang gagal menampung kuantiti air yang banyak dari huluan ketika bah pada November 2021.

“Jadi, kita kena dalamkan kepada sekurang-kurangnya lima meter supaya secara teknikalnya kita akan meningkatkan 40 peratus kapasiti Sungai Klang.

“Bila kapasiti meningkat, barulah tidak berlaku limpahan sungai sehingga tidak berlakunya banjir,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor baru-baru ini.

Syaiful Azmen berkata projek sepanjang 56km mengambil masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan di lokasi berisiko tinggi dengan fasa permulaan sejauh 10km di Taman Sri Muda.

“Kita rujuk balik kejadian banjir pada 2021. Kawasan mana yang berisiko tinggi kita pecahkan kepada empat blok. Di Taman Sri Muda ada laporan khusus mengkaji dampak langsung.

“Disebabkan itu, pada awal November projek dilaksanakan, kita mula di sini dulu,” katanya lagi.

Projek mendalam dan melebarkan hilir Sungai Klang dengan kos RM700 juta dibuat berperingkat mulai tahun lalu bagi mengurangkan risiko bah meliputi 12 zon dari Mid Valley, Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.


Pengarang :