AGENDAJENAYAH

Punca kematian pelayan restoran disebabkan luka tikaman di dada

SHAH ALAM, 27 MEI: Punca kematian pelayan restoran yang dibunuh kejam sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Isnin lalu disebabkan luka tikaman pada bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata punca itu dikenal pasti setelah selesai proses bedah siasat terhadap mangsa.

Beliau berkata jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, Sungai Besar.

Dalam pada itu, Agus Salim berkata keperluan tambahan tempoh reman akan dilakukan sekiranya memerlukan siasatan lanjutan berhubung kes berkenaan.

Katanya mahkamah sebelum ini meluluskan reman pertama selama enam hari bermula Rabu hingga 29 Mei ini.

Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan luar nikah dipercayai punca wanita 21 tahun dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini Isnin lalu.

Agus Salim berkata suspek berusia 20 tahun yang merupakan bekas penuntut kolej itu membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita itu sebelum dipukul di kepala dan dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam, 22 Mei lalu.

– BERNAMA


Pengarang :