SABAK BERNAM, 12 MEI: Pusat Smart Desa yang dibangunkan di dua lokasi di Selangor bakal menjadi projek rintis kepada pembangunan penduduk luar bandar, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat pendidikan di Kampung Sungai Air Tawar di sini dan Kampung Endah, Kuala Langat akan memberi manfaat kepada penduduk setempat terutama pelajar sekolah.
Menggunakan bangunan terbiar yang dinaik taraf, Amirudin berkata pusat itu boleh digunakan untuk penganjuran kelas tambahan selain menjadi pusat Internet.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-pusat-Smart-Desa-3-500x333.jpg.webp)
“Setiap projek menelan belanja RM200,000 yang dikeluarkan kerajaan persekutuan namun dikelola Kerajaan Selangor.
“Kos ini sangat minimum tetapi memberi manfaat besar kepada keperluan penduduk setempat.
“Smart Selangor menaja rangkaian Internet untuk kemudahan pangguna selain kita jalin kerjasama dengan pelbagai agensi lain antaranya Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor bagi memberi lebih banyak faedah tambahan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-pusat-Smart-Desa-1-500x333.jpg.webp)
Beliau ditemui selepas melancarkan pusat Smart Desa Kampung Sungai Air Tawar dan sambutan Aidilfitri kampung berkenaan hari ini.
Turut hadir EXCO Kampung Tradisi Borhan Aman Shah serta Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail.
Amirudin berkata pusat berkenaan bakal membantu penduduk kawasan desa bergerak seiring dengan arus pembangunan moden ketika ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-pusat-Smart-Desa-4-500x333.jpg.webp)
“Harapan kita untuk semua penduduk tak tertinggal dengan arus pemodenan dan kita kena bersama-sama mencapai hasrat ini.
“Kita mahu proses terus berjalan untuk manfaat semua,” katanya.