Penduduk menyertai Rewang Sekampung sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Rewang rumah terbuka Sabak Bernam meriah, sembelih 2 ekor lembu

SABAK BERNAM, 12 MEI: Lebih 1,000 penduduk dari 12 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di sini menjayakan program rewang sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri hari ini.

Yang dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berkata program dimulakan seawal jam 3 pagi bagi kerja menyembelih dan melapah dua ekor lembu.

“Ini keunikan di Sabak Bernam. Walaupun hari ini adalah hari bekerja, tetapi penduduk memberikan komitmen yang tinggi untuk membantu menjayakan majlis.

“Di sini, jika ada program rewang, penduduk pasti hadir kerana ia seperti budaya masyarakat di sini. Ia juga menjadi tempat untuk mengeratkan silaturahim,” kata Azman Dahlan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau persiapan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri peringkat Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen di sini, hari ini.

Azman berkata program rewang turut diserikan dengan pelbagai acara seperti cabutan bertuah, pertandingan hiasan pulut kuning, gubahan samping, karaoke lagu raya dan pertandingan anyaman ketupat.

Menurutnya semua acara sampingan tersebut merupakan inisiatif setiap kampung bersama MDSB dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

Penduduk mengayam ketupat ketika menyertai Rewang Sekampung sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Setiap program, malah aktiviti memasak juga sudah diagihkan secara sama rata kepada setiap kampung-kampung kerana kita menerapkan konsep gotong-royong,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dijangka menghadiri majlis rumah terbuka yang bermula dari 8 hingga 11 malam.

Program yang menjelajah ke setiap daerah itu bermula di Klang pada 28 April lalu diikuti di Hulu Selangor pada 29 April. Ia diteruskan pada 5 Mei di Hulu Langat, Petaling (6 Mei) dan Kuala Langat pada 7 Mei lalu.

Program seterusnya akan diadakan Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor esok, dan berakhir di tapak Uptown Sri Gombak (14 Mei) yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penduduk menyertai Rewang Sekampung sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :