Kerja-kerja pembaikan bumbung dan palung saluran hujan yang rosak di Flat Taman Puchong Permai (A), Puchong giat dijalankan kakitangan syarikat kontraktor yang dilantik pada 26 April 2023. Foto Pusat Khidmat DUN Seri Serdang
ADNSELANGOR

RM50,000 diperuntuk baik pulih bumbung, palung air Flat Taman Puchong Permai

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 2 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang memperuntuk kira-kira RM50,000 untuk membaik pulih bumbung Flat Taman Puchong Permai (A) Puchong dekat sini, yang rosak akibat kejadian ribut pada 8 April lalu.

Pegawai khas (infrastruktur) Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata kerja menaik taraf infrastruktur empat blok flat kos rendah berusia 25 tahun itu turut melibatkan penggantian palung saluran hujan yang rosak.

“Kerja baik pulih ini juga sebahagiannya merupakan projek pembaikan susulan ketiga di bawah DUN Seri Serdang yang bermula sejak 2021 hingga tahun ini.

“Projek kali ini melibatkan peruntukkan lebih besar dan diletakkan di bawah Projek Selangor Penyayang 2.0 Fasa 1 dengan jumlah hampir RM50,000,” kata Fauzan Rosli kepada Selangorkini.

Beliau berkata kerja baik pulih flat yang dihuni 200 keluarga atau 1,000 penduduk itu dijangka siap pertengahan bulan ini bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

“DUN Seri Serdang sentiasa berkhidmat untuk warganya dan tidak meminggirkan mana-mana kelompok penduduk yang memerlukan bantuan.

“Sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang di talian 03 8066 2924,” ujarnya.

Kerja-kerja pembaikan bumbung dan palung saluran hujan yang rosak di Flat Taman Puchong Permai (A), Puchong giat dijalankan kakitangan syarikat kontraktor yang dilantik pada 26 April 2023. Foto Pusat Khidmat DUN Seri Serdang

Pengarang :