Ribuan penduduk menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Setia di Jalan PJS 6/6A, Petaling Jaya pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMA

Rumah terbuka DUN Seri Setia dihadiri lebih 5,000 pengunjung berbilang bangsa

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 7 MEI: Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini.

Acara yang bermula dari jam 2 hingga 4 petang itu berlangsung di tempat letak kereta Jalan PJS6/6A di sini.

Ahli Dewan Negerinya Halimey Abu Bakar berkata sambutan luar jangkaan dengan kehadiran penduduk berbilang kaum itu sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad (tiga dari kiri) dan ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (kiri) sempena Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Setia di Jalan PJS 6/6A, Petaling Jaya pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Setiap tahun ramai tetamu datang, namun berbeza kali ini kerana kehadiran orang ramai berganda berbanding sebelumnya.

“Saya percaya ini petanda rakyat yakin dengan kepimpinan di Selangor dan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya katanya ketika ditemui pada majlis itu.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Setia di Jalan PJS 6/6A, Petaling Jaya pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Halimey berkata majlis berkenaan lebih ceria dengan kehadiran isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Selain itu 400 kanak-kanak menerima duit raya dalam majlis berkenaan.

Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai juadah lazat yang disediakan 18 gerai antaranya lemang dan rendang ayam, nasi himpit, nasi goreng, air balang, sate, kuih-muih dan ayam gunting.

Rakyat berbilang bangsa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seri Setia di Jalan PJS 6/6A, Petaling Jaya pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan.


Pengarang :