BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Saintis kesan pokok ‘menangis’ jika dipotong

Oleh ZAMIR MOHYEDIN

Baru-baru ini, saintis daripada Universiti Tel Aviv, Israel mendapati tumbuhan menghasilkan bunyi yang kerap apabila dipotong ataupun tidak disiram.

Seolah-olah tumbuhan sedang menangis apabila mengalami tekanan. Mereka mendapati apabila dahannya dipotong, tumbuhan akan menghasilkan sebanyak 35 bunyian dalam tempoh sejam.

Bunyi ini pula dapat didengar melalui mesin sejauh beberapa meter. Jika tumbuhannya disiram dan dahannya tidak dipotong, ia hanya akan menghasilkan sekitar satu bunyian sahaja dalam tempoh sejam.

Kejadian ini pelik sebab kita tidak pernah dengar tumbuhan menghasilkan bunyi walau kita potong dahannya atau dijaga dengan baik. Sebabnya tumbuhan menghasilkan bunyi pada julat yang manusia tidak mampu dengar.

Penolong Pegawai Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Hadzmer Sanuddin memegang akar pokok pepanjat yang mengelilingi pokok tempinis di hutan simpan Ampang Pechah. Nama sainsnya ‘Streblus elongatus’, tempinis sejenis pohon sederhana yang boleh tumbuh setinggi 30 meter pada 14 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Manusia mampu mendengar bunyi daripada 31 hertz (hz) hingga ke 19 (kilohertz) khz. Tumbuhan pula menghasilkan bunyi dalam julat 20 khz hingga ke 100 khz iaitu bunyi ultrasonik yang hanya beberapa haiwan sahaja dapat mendengarnya seperti kucing (55 hz – 77 khz), kelawar (530 hz – 75 khz), arnab (96 hz – 49 khz) dan tikus (900 hz – 79 khz).

Jadi, bagaimana saintis dapat dengar tumbuhan ini menghasilkan bunyi apabila tertekan? Guna mikrofon. Mereka letak tumbuhan tembakau dan tomato dalam sebuah kotak kedap bunyi supaya tiada gangguan daripada luar bersama dengan mikrofon.

Mikrofon ini akan merekod sebarang bunyi dihasilkan tumbuhan. Kalau manusia tertekan, biasanya kita akan menjerit ataupun menangis, tetapi tumbuhan tidak menghasilkan bunyi sebegitu.

Ia menghasilkan bunyi seperti bertih jagung yang sedang dimasak dalam ketuhar – bunyi ‘pop’. Untuk menjadikan kejadian ini lebih realistik, tumbuhan ini juga diletakkan di rumah hijau (greenhouse).

Segala bunyi angin dan pendingin hawa ditapis dengan bantuan mesin. Hasilnya tumbuhan tetap menghasilkan bunyi.

Seperkara lagi kita perlu maklum, tumbuhan tidak mempunyai paru-paru ataupun pita suara untuk hasilkan bunyi seperti haiwan.

Hasil buih

Jadi, bagaimana tumbuhan boleh buat bunyi apabila tertekan? Setakat ini, saintis berteori tumbuhan menghasilkan bunyi melalui saluran yang menghantar air dari akar ke dahan dan daun iaitu xylem.

Mereka berpendapat, apabila tumbuhan tidak disiram dalam cuaca kering, air yang melalui xylem akan menghasilkan buih dan buih ini berkembang lalu meletup.

Letupan buih ini mungkin yang menghasilkan bunyi pop. Bagaimanapun, bunyian tumbuhan perlu dikaji lebih lanjut untuk mengetahui punca bunyi tersebut dengan lebih terperinci.

Setakat ini, bukan setakat pokok tembakau dan tomato sahaja yang menangis apabila tidak dijaga dengan baik, pokok gandum, jagung dan anggur pun pernah dilakukan kajian dan hasilnya konsisten.

Lim Seng melihat pokok bunganya bagi persiapan awal menjelang Tahun Baharu Cina tahun lepas ketika ditemui Bernama di kediamannya di sebuah rumah kedai di Kampung Cina pada 23 Januari 2020. Foto BERNAMA

Sebelum kajian ini dibuat, sekumpulan saintis yang sama pernah buat kajian sama ada tumbuhan boleh dengar bunyi ataupun tidak.

Mereka mendapati tumbuhan pun sebenarnya boleh dengar bunyi. Apabila pokok Oenothera drummondii didedahkan dengan bunyi lebah, ia akan mengeluarkan madunya.

Penemuan ini penting kerana kemampuan tumbuhan untuk mendengar bunyi merupakan sifat penting tumbuhan bagi memelihara ekosistem.

Jika tumbuhan tiada sifat ini, ia mungkin tidak merembeskan madu dengan kehadiran lebah. Perkara akan jadi berantai. Lebah pun tidak akan dapat makanan dan ia tidak dapat melangsungkan hidup.

Lebah merupakan salah satu daripada lima spesies terpenting bagi kelangsungan hidup manusia selain daripada kelawar, plankton, primat dan rama-rama.

Tanpa lebah, proses pendebungaan tumbuhan terjejas. Akibatnya sumber buah dan sayur terjejas. Kemudian, hilangnya sumber daging.

Rantaian makanan runtuh. Keruntuhan rantaian makanan ini bukan sahaja menjejaskan haiwan dan tumbuhan, tetapi juga manusia.


Pengarang :