Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesihatan percuma di Dewan MBSA Paya Jaras pada Ahad

SHAH ALAM, 17 MEI: Program Selangor Saring fasa dua kini kembali pada setiap hujung minggu dan daerah Petaling menjadi  lokasi pertama bertempat di Dewan MBSA, Paya Jaras Tengah pada 21 Mei ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menyarankan penduduk sekitar membawa ahli keluarga mereka ke program berkenaan yang bermula dari 9 pagi hingga 3 petang.

“Tidak terhad kepada warga emas, golongan muda berusia 18 tahun ke atas amat digalakkan untuk menjalani saringan pemeriksaan kesihatan yang dianjurkan di pelbagai lokasi di seluruh negeri berkonsepkan jelajah.

“Bukan setakat pemeriksaan fizikal, pengambilan sampel untuk ujian darah, air kencing dan empat jenis barah juga tersedia. Peserta juga boleh membuat pemeriksaan mata, gigi, telinga dan fisioterapi,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Dr Siti Mariah memaklumkan sebelum ini seramai 58,000 rakyat di negeri ini mendapat manfaat menerusi Selangor Saring sejak dilancarkan pada tahun lalu.

“Mengambil contoh laporan Selangor Saring fasa satu, daripada 565 peserta yang membuat saringan barah serviks, seramai 34 wanita mempunyai keputusan yang perlu membuat pemeriksaan lanjut.

“Malah, daripada 177 peserta yang membuat saringan kanser prostat pula, seramai 16 orang atau kira-kira 10 peratus lelaki perlu mendapatkan pemeriksaan susulan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru masyarakat cakna dengan kesihatan masing-masing dan berkunjung ke program saringan itu untuk mengesan penyakit lebih awal sekali gus mengurangkan risiko menjadi lebih teruk.

Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring  yang menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Sebelum ini, Dr Siti Mariah memaklumkan Selangor Saring antara enam inisiatif diperkenal khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.


Pengarang :