Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K Saraswathy bergambar bersama pemenang Anugerah Peniaga E-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2023 di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 27 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor hab e-dagang menjelang 2025, tumpu aspek transformasi digital, inovasi

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Hasrat Selangor menjadi hab e-dagang terkemuka serantau menjelang 2025 berada di landasan tepat didorong penumpuan kepada aspek transformasi digital dan inovasi dalam sektor ekonomi digital, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata misi Selangor yang berhasrat menjadi barisan hadapan dalam transformasi bidang digital dan inovasi menjelang 2025 berpotensi tinggi dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif oleh Kerajaan Negeri.

“Kita membayangkan persekitaran di mana perniagaan berkembang maju, pengguna mempunyai pengalaman dalam talian yang lancar dan Selangor menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan e-dagang.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyampaikan ucapan pada Anugerah Peniaga E-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2023 di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 27 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Untuk mencapai matlamat ini, Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sedang melabur dalam infrastruktur, mempromosikan latihan kemahiran digital dan memupuk perkongsian strategik dengan penggiat industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2023 di sini semalam.

Mengulas lanjut Sze Han mengakui beberapa cabaran wujud dalam landskap e-dagang semasa di Malaysia dan Selangor seperti ketidakcekapan logistik, gerbang pembayaran dan celik digital dalam kalangan peniaga.

“Namun sebagai negeri paling maju di Malaysia, Selangor komited menangani isu ini secara berterusan dan merapatkan jurang dalam ekosistem e-dagang,” katanya.

Pada majlis itu, syarikat penyedia perkhidmatan tiket bas dalam talian Etransact Technology Sdn Bhd dinobat juara Anugerah Top ECM 2023 sekali gus menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K Saraswathy.


Pengarang :