EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Shah Alam 2023 di MBSA Convention Centre pada 29 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor kemuka pelan tindakan lima tahun, perkasa peniaga kecil, penjaja

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan Selangor akan mengemukakan pelan tindakan lima tahun pembangunan usahawan negeri itu dalam masa terdekat.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata pelan memperkasa peniaga kecil dan penjaja boleh dijadikan rujukan individu yang bakal mengambil alih portfolio tersebut sebaik tamat penggal ini.

“Terkini, insya-Allah kita akan kemukakan kepada Kerajaan Negeri pelan tersebut. Jika berakhir tugas saya sebagai EXCO pembangunan usahawan, saya harap ‘blueprint’ ini dapat diikuti mereka yang ambil alih jawatan ini.

“Bagaimanapun jika saya masih memimpin, pastinya akan memudahkan lagi kerja saya (untuk membangunkan usahawan Selangor),” katanya.

Beliau turut berkongsi kejayaan menubuhkan jawatankuasa khas pembangunan usahawan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang memegang portfolio itu.

“Dengan ada jawatankuasa ini, kita ada sinergi bersama PBT terutama yang banyak menguruskan usahawan kecil dan penjaja. Jadi kita harap nasib penjaja lebih terjaga.

“Pada masa sama kita bangga apabila hampir 300 produk premier usahawan Selangor diketengahkan sehingga ke luar negara. Bukan sahaja produk makanan dan minuman tetapi penjagaan kesihatan, bayi serta sebagainya,” katanya.


Pengarang :