Lima sekeluarga maut dalam kemalangan dua kenderaan di KM310.2 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kampar pada 16 Mei 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Seorang lagi mangsa kemalangan di Kampar meninggal dunia

IPOH, 16 MEI: Seorang lagi mangsa yang terlibat dalam nahas dua kenderaan di KM310.2 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kampar awal pagi tadi meninggal dunia di Hospital Tapah, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud mengesahkan Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7, meninggal dunia 9.20 pagi tadi.

Terdahulu dalam kemalangan 2.42 pagi itu, tiga adik-beradik mangsa iaitu Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Muhammad Azib Nasaruddin, 23, yang menaiki kereta Proton Saga maut di tempat kejadian.

Turut terkorban dalam nahas yang turut melibatkan sebuah lori pasir itu, ialah ibu keempat-empat mangsa, Azriyani Abdul Latif, 45.

Dalam kejadian pagi tadi Proton Saga yang dinaiki kelima-lima mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori muatan pasir menyebabkan Ahmad Uwais Qorni, Siti Nur Aminah, Muhammad Azib dan Azriyani maut di tempat kejadian.

Muhammad Fawwaz yang ketika itu kritikal dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keempat-empat mangsa yang maut di tempat kejadian pula dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, Inspektor Arif Khariri di talian 014-3684870.

– BERNAMA


Pengarang :