Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Dato’ Mohd Yazid Sairi dan timbalannya Adi Faizal Ahmad Tarmizi melawat fasiliti Stadium Majlis Perbandaran MPS yang telah dinaik taraf pada 31 Mei 2023. Foto MPS
AGENDASUKANKINI

Stadium MPS dibuka semula 10 Jun, kos naik taraf RM10 juta

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 31 MEI: Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang ditutup selama 11 bulan untuk kerja naik taraf akan dibuka semula kepada orang ramai pada 10 Jun ini.

Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata pembukaan tersebut berikutan pemasangan lampu limpah, papan iklan elektronik berpusing dan litar balapan siap sepenuhnya pada tarikh tersebut.

Menurut beliau turut dinaik taraf ialah ruang persalinan, ruang orang kenamaan, surau, tandas dan kemudahan lain dengan belanja keseluruhan RM10 juta.

“Naik taraf ini penting bagi memastikan Stadium MPS dapat memberikan perkhidmatan dan fasiliti stadium yang terbaik.

Keadaan padang dan tempat duduk penonton di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah dinaik taraf. Foto MPS

“Tahniah kepada semua jabatan yang terlibat dalam memastikan projek naik taraf ini dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata Mohd Yazid.

Mohd Yazid berkata demikian selepas melawat Stadium MPS bersama rombongan Ahli Majlis selepas mesyuarat bulanan hari ini.

Beliau menjelaskan naik taraf lampu limpah di sekeliling stadium yang menelan belanja RM7.4 juta dibuat supaya menepati keperluan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan perlawanan waktu malam boleh diadakan.

“Naik taraf litar balapan yang menelan kos RM900,000 pula sedang dalam proses akhir dan akan siap sepenuhnya 10 Jun ini.

“Kita juga menaik taraf scoreboard sebelum ini kepada papan iklan gergasi elektronik boleh berpusing yang memakan belanja RM1.6 Juta,” ujarnya.

Tambah Mohd Yazid MPS akan memberi fokus untuk menaik taraf kawasan luar stadium supaya menjadi lebih menarik selepas ini selain memastikan padang stadium terus kekal menjadi antara padang bola sepak terbaik.

Stadium MPS yang terletak di Bandar Baru Selayang mula ditutup sementara pada Julai hingga Disember tahun lalu untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf lampu limpah.

Penutupan diteruskan tahun ini untuk kerja naik taraf papan iklan gergasi elektronik dan litar balapan.


Pengarang :